Dr. Azizan Abu Samah

KUALA LUMPUR – Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah, tokoh geografi negara dan pakar meteorologi Universiti Malaya dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus hari ini.

Dr. Azizan dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas kepakaran beliau dalam bidang kaji cuaca, perubahan iklim dan antartika, beliau juga merupakan seorang penyelidik yang aktif dan merupakan mentor kepada beberapa generasi ahli geografi di negara ini.

“Sebagai seorang penyelidik, kerja-kerja penyelidikan merupakan sebahagian daripada jiwa saya dan saya akan meneruskan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang iklim dan juga cuaca ekstrem. Universiti Malaya telah menyediakan platform terbaik kepada saya dalam bidang geologi ini,” katanya.

Mengulas mengenai pengiktirafan ini, Azizan berkata: “Jangan takut mimpi yang tinggi, think big kerana dunia adalah halaman kita, dunia adalah pentas dan ikutilah jejak alumni universiti yang telah menempah nama di peringkat negara dan juga global”.

Beliau merupakan merupakan felo penyelidik kanan di Institut Sains Samudera dan Bumi dan telah menghasilkan banyak penulisan yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi seperti Ocean Dynamics, International Journal of Climate and Journal of Geophysical Research (Atmosphere).

Selain itu, beliau merupakan Felo Akademi Sains Malaysia and the Royal Meteorological Society, UK, juga pakar rujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia khususnya dalam isu jerebu dan perubahan iklim.

Beliau terlibat sebagai Penasihat dalam penyediaan Dasar Polar Malaysia dan Akta Antartik, pernah berkhidmat sebagai Pakar Rujuk Kementerian Pendidikan, Malaysia untuk penggubalan kurikulum serta penulisan buku teks Geografi.

Azizan menerajui Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan yang memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan Malaysia di Benua baru yang mempunyai nilai yang amat tertinggi.

Atas sumbangan beliau yang amat bermakna itu, beliau dianugerahkan Tokoh Antartika Kebangsaan.

Beliau juga merupakan Timbalan Presiden the Scientific Committee on Antarctic Research (SCAR), Ahli Jawatankuasa Pemandu Asia Pacific Rim University – World Institute Pacific Rim Cities Climate Change Mitigation and Adaptation Strategies (APRU-CMAS)
serta merupakan Ahli International Scientific Advisory Committee of Asian Network on Climate Science and Technology (ANCST).

Gelaran tersebut dianugerahkan oleh Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Ramli Ngah Talib . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast