MELAKA – Gudang jenama kopi terkenal, Aik Cheong terbakar dalam kejadian di Taman Teknologi Cheng, di sini malam tadi.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.59 malam menerusi talian MERS 999.
Katanya, sepasukan 23 pegawai dan anggota dengan kekuatan empat jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, dapati gudang kopi milik syarikat Aik Cheong Beverage Industries Sdn. Bhd. bekeluasan 7,200 meter persegi telah terbakar 90 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.05 malam, namun operasi pemadaman bara masih berjalan sehingga 10.05 pagi ini,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan dan punca kebakaran gudang masih dalam siasatan pasukan forensik.