Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Pantai Timur dijangka mengalami hujan berterusan bermula hari ini hingga Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, keadaan seperti itu berlaku di kawasan-kawasan di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Amaran tahap waspada dikeluarkan bagi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan berikutan perkembangan cuaca tersebut.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terenggganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu manakala, di Pahang membabitkan Kuantan dan Pekan.

Menurut MetMalaysia, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai cuaca terkini melalui aplikasi mudah alih myCuaca atau melayari lawan web dan media sosial rasmi jabatan itu.

Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan. – MalaysiaGazette