KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan terjejas banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, kerja-kerja tersebut dijangka mengambil masa kira-kira bulan kerana melibatkan pengalihan batuan besar dan semua enapan di dalam aliran sungai.

“Banjir puing yang berlaku pada jam 8.00 malam, 25 November 2023 itu disebabkan oleh hujan selama tiga jam dalam keamatan sederhana, iaitu antara 23.5mm hingga 53mm, yang menyebabkan banjir puing di kawasan sekitar,” kata kementerian berkenaan menerusi kenyataan.

Menurut NRECC, aktiviti guna tanah di bahagian hulu saliran berkemungkinan antara punca yang menyumbang kadar hakisan tanah tinggi melalui aktiviti pembukaan tanah pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk dan kecerunan.

“Berdasarkan semakan dan tinjauan awal oleh Pejabat Hutan Daerah Bentong menggunakan dron, terdapat satu runtuhan tanah dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi di tepi anak Sungai Tanglir.

“Kawasan sekitar anak Sungai Tanglir pernah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian seluas lima ekar sebelum ini tetapi telah diambil tindakan penguatkuasaan pada bulan Mac 2023. Kawasan tersebut telah dibuat penanaman semula pokok dan pada masa ini, semakan semula sedang dibuat untuk mengesan sekiranya terdapat kawasan baru yang diteroka berhampiran kawasan kejadian,” jelasnya.

Dilaporkan beberapa buah rumah, premis perniagaan dan jalan raya berhampiran Bukit Tinggi, Bentong telah dinaiki air dengan purata kedalaman kawasan 0.3 – 0.6 meter sejak dua hari lalu.

Hujan lebat juga menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran, seterusnya menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu-batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan mengenal pasti serta menandakan Zon Bahaya serta Zon Kawalan di tapak kejadian bagi tujuan membantu agensi responder (agensi tindak balas) serta agensi-agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan.

Semalam, Menteri NRECC Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana tersebut. – MalaysiaGazette