Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membidas cadangan PKR Johor supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk memantau guru yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Teacher Thanusha, langkah tersebut bertentangan dengan amalan demokrasi negara.

“Malaysia adalah sebuah negara demokratik, dan sama ada seseorang itu adalah penjawat awam atau tidak, mereka mempunyai hak mereka sendiri untuk menyokong mana-mana parti politik yang mereka inginkan,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, profesionalisme guru dalam mendidik pelajar lebih utama berbanding kecenderungan ideologi politik masing-masing.

“Selagi mereka menjalankan tugas dengan baik dan kualiti pendidikan diutamakan, tidak menjadi masalah bagi mereka menyokong mana-mana pihak,” katanya.

Pada Kongres Nasional PKR 2023. semalam, perwakilan PKR Johor, Haryati Abu Nasir yang membuat cadangan tersebut berkata, terdapat trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.

Semantara itu, Teacher Thanusha memberitahu, sebagai negara membangun kerajaan perlu meneruskan amalan kebebasan untuk menyokong mana-mana parti politik atau ideologi.

“Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya tidak mengutamakan ideologi politik dan perlu bersikap tidak berat sebelah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pendidikan bagi generasi masa depan rakyat Malaysia, dan bukannya menjadi pemerhati terhadap guru-guru yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.-MalaysiaGazette