Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Pasaran bon dan sukuk Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan pembiayaan penting kepada inisiatif yang produktif dan bertanggungjawab daripada segi sosial, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusinya SC Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia adalah antara pasaran paling maju dan terbesar di rantau ini dengan jumlah nilai tertunggak sebanyak RM2 trilion setakat  31 Oktober 2023, mewakili lebih 50 peratus daripada pasaran modal Malaysia.

“Malaysia merupakan pasaran sukuk terbesar dengan 35 peratus sukuk terkumpul global, mendahului Arab Saudi dan Indonesia.

“Malaysia juga kekal sebagai peneraju serantau dalam sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI). Pada 2023 (sehingga Oktober), tiga sukuk SRI dengan jumlah saiz program RM2.2 bilion telah diserah simpan dengan SC,” katanya dalam ucaptama semasa Persidangan Maya Bon dan Sukuk Malaysia MARC, hari ini.

Awang Adek juga meminta peserta pasaran mengambil tindakan yang lebih konkrit untuk menangani perubahan iklim dan menggalakkan kemampanan di Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kerajaan di seluruh dunia telah berikrar untuk menangani pemanasan global, pelepasan karbon daripada tenaga dan industri telah meningkat sebanyak 60 peratus sejak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ditandatangani pada tahun 1992.

“Untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, pelaburan tenaga bersih tahunan di seluruh dunia memerlukan sekitar US$4 trilion (RM18.7 trilion) menjelang 2030. Malaysia memerlukan RM1.3 trilion menjelang 2050,” katanya.

Awang Adek berkata susulan keperluan pembiayaan tenaga bersih yang besar, sektor kewangan harus terus memudahkan pembiayaan dan pelaburan dalam bidang utama berkenaan untuk menyokong keutamaan kerajaan.

“Agensi penarafan kredit juga memainkan peranan penting dalam menambah baik pendedahan dan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seiring dengan agenda kelestarian negara.

“Bagi entiti yang bertanggungjawab menerbitkan sekuriti, mengutamakan kemampanan akan memberi petunjuk kukuh untuk menggalakkan penggunaan yang lebih besar dalam industri,” katanya.

Beliau berkata bagi memudahkan penerimaan piawaian yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat mengenai Pelaporan Kelestarian (ACSR) yang dipengerusikan oleh SC untuk mengemudi pelaksanaan dan penerimaan Piawaian ISSB oleh syarikat Malaysia dengan teratur.

Awang Adek berkata Rangka Kerja Sukuk berkaitan SRI yang sejajar dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik dikeluarkan pada 2022.

Beliau berkata SC juga telah memasukkan Piawaian Bon Berkaitan Kemampanan ASEAN ke dalam rangka kerja kawal selianya, ia memberikan pasaran modal Malaysia set lengkap standard bon dan sukuk untuk membantu syarikat memperoleh pembiayaan bagi tujuan peralihan.

“Agenda kemampanan SC juga melangkaui bon dan sukuk, meliputi segmen pasaran lain dan ini termasuk pengurusan dana, taksonomi SRI serta menyediakan rangka kerja untuk pendedahan berkaitan kemampanan.

“Dana SRI Malaysia yang dikawal selia oleh SC mengikut garis panduan khusus untuk ketelusan dan pematuhan kepada prinsip pelaburan mampan. Dana ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan kemampanan dan pelaburan yang bertanggungjawab dalam pasaran kewangan Malaysia,” katanya.

Awang Adek berkata sejak garis panduan Dana SRI diperkenalkan pada 2017, sebanyak 39 dana unit amanah dan 28 dana borong telah didaftarkan dengan SC.

Pasaran Bon dan Sukuk Malaysia berada di persimpangan antara peluang dan tanggungjawab. Justeru, usaha memperkasa kemampanan, ia bukan sahaja membuka jalan kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif tetapi juga meninggalkan legasi pengawasan untuk generasi, katanya.

“Mari kita bersama-sama menuju masa depan dengan kewangan berperanan sebagai kuasa untuk kebaikan dan kemakmuran diukur bukan sahaja daripada segi kewangan tetapi dalam kesejahteraan planet kita dan penghuninya,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast