TEL AVIV – Israel dan Hamas dilaporkan bersetuju supaya gencatan senjata sementara dilanjutkan dua hari lagi.
Perkara tersebut disahkan oleh Qatar dan Amerika Syarikat yang menjadi negara perunding bagi kedua-dua pihak.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari dalam kenyataan di platform X berkata, semua pihak telah mencapai kesepakatan untuk melanjutkan jeda selama dua hari tambahan.
Gencatan senjata itu dilanjutkan “untuk menyampaikan bantuan tambahan ke Gaza dan membebaskan lebih ramai tebusan Israel dan tahanan Palestin”.
Sementara itu The Times of Israel melaporkan, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel Daniel Hagari berkata bahawa lanjutan kepada gencatan senjata sementara tidak muktamad.
“Kami menguruskan perjanjian melalui pengantara sepanjang masa. Tiada yang muktamad sehingga ia benar-benar berlaku,” katanya.
Bagaimanapun Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Kirby berkata, Hamas telah bersetuju untuk membebaskan 20 tebusan dalam tempoh dua hari, dan usaha sedang dijalankan untuk melanjutkan jeda lagi.
Sebelum ini Israel dan Hamas mencapai persetujuan untuk melakukan gencatan senjata selama empat hari bermula Jumaat lalu dan akan tamat pada Selasa waktu tempata.
Sejak Jumaat, 39 warga Israel dan 117 warga Palestin telah dibebaskan, dengan 11 lagi tebusan Israel dan 33 warga Palestin dijangka dibebaskan lewat Isnin.
Hasil rundingan yang diketuai oleh Qatar, 17 warga Thailand, seorang Filipina dan seorang dua warga Rusia-Israel juga telah dibebaskan oleh Hamas.-Agensi