KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan petani dan penternak yang terjejas akibat banjir khususnya di Kelantan mendapat ganti rugi yang munasabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai perkara yang penting dan perlu diberi perhatian.
“Sebut tentang bantuan, walaupun kita ada bantuan untuk nelayan, pekebun kecil yang sudah diluluskan tetapi saya ambil kira pandangan YB bahawa ada kesan yang lain itu ada dalam peruntukan tapi ada juga keluhan daripada petani dan penternak
“Saya akan pastikan supaya ada jentera baik negeri atau daerah termasuk di Kelantan bergerak supaya ada ganti rugi yang munasabah bagi mangsa banjir,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan sehingga pagi ini sebanyak 194 keluarga melibatkan 676 mangsa masihditempatkan di sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di negeri yang terjejas termasuklah Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu.
Jelas beliau, selain daripada Pusat Penempatan kekal yang dimulakan di sembilan negeri sebagai projek rintis, persediaan pra bencana juga digerakkan menerusi penganjuran program simulasi dan sesi libat urus di seluruh negara bagi memantapkan persediaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan agensi-agensi tindak balas.
Katanya lagi, program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) dilaksanakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bencana selain pemantauan dan amaran awal.
Tambahnya lagi, sehingga sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir seluruh negara telah dikenal pasti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – MalaysiaGazette