Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan melakukan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui platform media sosial.

Suspek yang berusia 37 dan 24 tahun itu ditahan pada Ahad dan hari ini di Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang pemilik/pengendali akaun Facebook bernama ‘Cik Mat Cik Po’ dilakukan pada Ahad lalu di Kota Bharu, Kelantan kerana memuat naik komentar yang kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap raja.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari ke atas suspek bermula dari 27 hingga 30 November ini untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seksen 233 AKMM 1998 memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut Razarudin, tangkapan kedua dilakukan ke atas pemilik/pengendali akaun TikTok @jaiadani89 yang disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri pada pada hari ini di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan.

Tambah beliau, polis telah membuat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas suspek dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 507 kanun keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 AKMM 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain yang boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau. – MalaysiaGazette