KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan misi Perikatan Nasional (PN) untuk kembali ke Putrajaya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) hanya angan-angan Mat Jenin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, PN hanya memainkan propaganda akan kembali ke tampok kerajaan dalam masa terdekat.
“Kenapa PN mengulang ulang cerita kerajaan akan jatuh sebelum PRU16? PN mahu buktikan ia masih relevan. Bersatu juga bimbang akan berlaku “trust deficit” dalam kalangan ahlinya.
“Tetapi tindakan PN itu jadi senjata makan tuan. PN nampak tidak sabar, pengacau, rakus dan tidak sanggup jadi pembangkang. Rakyat penat dan meluat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Mohd Puad berkata, empat tahun sebelum PRU-16 terlalu lama untuk Pas dan Bersatu menjadi pembangkang.
Ini kerana katanya, dua parti tersebut sudah biasa menjadi pemerintah selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Muhyiddin setuju MB Trengganu calon PM. Hamzah mesti marah. Bersatu makin pecah,” ujarnya. – MalaysiaGazette