Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kemakmuran Negeri Pahang terus dinikmati oleh rakyat negeri ini di bawah setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan hasil gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemakmuran itu diterjemah dengan pencapaian hasil pemacuan ekonomi, pendidikan, dan kebajikan yang konsisten dalam tempoh itu.

”Nak kenal baik kita tanya kawan, nak tahu buruk tanyalah lawan tetapi bila kita dah berkawan, kita kena kawan betul-betul. Kami bersama PH melaksanakan amanat yang diberikan rakyat.

”Setahun Pahang bersama Kerajaan Perpaduan, kita ada semangat setia kawan. Tiada masalah dan kerajaan negeri fokus dalam pembangunan negeri. Buktinya peningkatan hasil kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazatte.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, kerajaan negeri merekodkan kutipan hasil negeri sebanyak RM1,125,974,792.51 melebihi sasaran RM1,083,669,900 (103.90%) sehingga 24 Novemver tahun ini.

Kestabilan politik di negeri ini menjadi elemen kemakmuran yang mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi teras perpaduan di Pahang.

”Kita di Pahang unik dengan adanya kepimpinan dan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Gandingan dan keserasian kita bersama PH dilihat ketika PRU-15 DUN Tioman dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, membuktikan gandingan itu berhasil memperkukuh kepercayaan parti antara satu sama lain.

”Ini sekali gus membuktikan keikhlasan masing-masing ketika memeterai perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara BN Pahang dan PH Pahang di Genting Highlands baru -baru ini,” jelasnya.

Berkongsikan pencapaian setahun bersama Kerajaan Perapaduan, Wan Rosdy berkata, kesemua golongan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dari semua kaum sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain termasuk orang asli negeri ini tidak dipinggirkan bagi menikmati kemakmuran bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelai itu berkata, agenda kebajikan diberi fokus utama apabila kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM42.4juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang telah memberi manfaat kepada 218,193 penerima.

Terbaharu katanya, pembinaan Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang yang bernilai RM280,000 di Chenor, Maran merupakan pusat pemuliaan al-Quran terbesar di Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Pahang.

Selain itu kerajaan negeri membelanjakan RM31 juta bagi Pusat Pemindahan Tetap (PPT) di lima daerah di Pahang membabitkan Maran, Pekan, Kuantan, Temerloh dan Lipis bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir di negeri ini setiap kali pada musim tengkujuh.

Justeru beliau mengharapkan kemakmuran yang dicapai di bumi Pahang ini kekal dinikmati, di samping menjadikan negeri ini terus maju dengan melonjakkan sektor ekonomi agar berdaya mampan demi kesejateraan rakyat. – MalaysiaGazette