KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, RUU tersebut komprehensif bagi mengawal selia penggunaan vape dan rokok elektronik yang semakin meluas dalam masa yang sama mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada.
RUU berkenaan menetapkan antaranya larangan jualan produk tembakau, bahan merokok atau produk penggantinya atau mengadakan khidmat merokok kepada orang belum dewasa.
Selain itu, tiada seorang pun merupakan belum dewasa boleh merokok atau menggunakan produk tembakau.
“Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM500 atau diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat menurut Kanun Tatacara Jenayah atau Akta Kanak-Kanak 2001,” demikian menurut Perkara 17(2) RUU tersebut.
Bacaan kali kedua dijadualkan pada Rabu.
Sebelum itu, beliau menarik semula pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 untuk bacaan kali kedua, seperti yang tertera pada Aturan Urusan Mesyuarat, hari ini.
Pada Jun lalu, Zaliha berkata, RUU itu dirujuk semula ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan berikutan gesaan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.
RUU berkenaan dirujuk kepada JKPK Kesihatan buat kali kedua, selepas kali pertama dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ogos tahun lalu.
Menerusi RUU yang pernah dibentang Jun lalu itu, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf RUU terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk. – MalaysiaGazette