Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membuat pendekatan baharu berikutan terdapat ketirisan pada subsidi diesel dan petrol.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan sedia ada sekiranya masih terdapat ketirisan dalam pemberian subsidi berkenan.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.

“Oleh yang demikian, tidaklah wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan rakyat yang benar-benar perlu dibantu”, katanya ketika merasmikan Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

Teks perasmian Ahmad Zahid dibacakan menteri yang memangku jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi.

Sebagai contoh, beliau berkata, pada tahun 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, dapatan daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95 manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

“Dapatan ini membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum,” tambah Ahmad Zahid.

Jelas Ahmad Zahid lagi, senario berterusan sebegini tidak optimum daripada sudut fiskal dan wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat.

“Bagi tahun 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun Kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah membuat penjimatan kira-kira RM4.6 bilion daripada peruntukan subsidi elektrik bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Ia susulan langkah kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian subsidi elektrik kepada syarikat-syarikat besar dan isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap tinggi.

“Namun, kerajaan tetap memastikan kebajikan rakyat terpelihara, di mana 90 peratus isi rumah dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menikmati subsidi elektrik dan kerajaan diunjurkan membelanjakan RM16 bilion untuk elektrik bagi tahun ini.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini bukanlah mudah dan sudah tentu ada cabarannya. Kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi kerana ia akan memberi pelbagai kesan dan impak kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette