ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut apabila motosikal ditungganginya dirempuh sebuah motosikal lain selepas membeli sarapan di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa Sulaiman Saleh, 61, yang menunggang motosikal jenis Honda meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala ketika membuat pusingan U.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan tiga buah motosikal selepas mangsa membungkus sarapan di warung tepi jalan.
“Ketika pesara tentera itu membuat pusingan U untuk ke arah Masjid Tanah, datang seorang pemuda menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 telah melanggar motosikal mangsa.
“Rempuhan mengakibatkan si mati tercampak ke arah bertentangan sebelum dilanggar sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang seorang lelaki berusia 32 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pemuda berusia 20 tahun itu mengalami patah tangan, manakala seorang lagi luka-luka pada anggota badan.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, manakala mayat si mati dirujuk ke Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.