NEW DELHI – Kesemua 41 pekerja yang terperangkap dalam terowong Jalan Silkyara yang runtuh di India selamat dikeluarkan dengan operasi menyelamat mengambil masa selama 17 hari.
Mereka terperangkap sejak 12 November lalu apabila sebahagian terowong yang masih dalam pembinaan di negeri Himalaya, Uttarakhand itu runtuh.
Anggota penyelamat cuba menggerudi runtuhan dan memasukkan paip yang lebih besar bagi membolehkan pekerja merangkak keluar.
Namun, operasi tersebut terpaksa dihentikan beberapa kali selepas serpihan jatuh dan kerosakan berlaku pada mesin penggerudian dalam operasi menyelamat.
Anggota penyelamat membekalkan oksigen, makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan lain melalui paip sempit berasingan.
Kesemua mangsa yang terperangkap dalam terowong sepanjang 4.5 kilometer (km) itu, mendapat rawatan dan pemantauan daripada pihak hospital, namun tiada sesiapa mengalami kecederaan.
Mereka juga turut diberikan wang pampasan bernilai 100,000 rupee oleh kerajaan India.
Terowong berkenaan adalah sebahagian daripada laluan Lebuhraya Char Dham yang diusahakan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Ia merupakan projek kontroversi yang bernilai berjuta-juta dolar untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan negara itu selain menjadi laluan penganut Hindu untuk menziarahi kawasan tersebut. – Agensi