Che Adam A Rahman (kiri) menunjukkan motosikal baharu diterima kepada seorang anggota APM Pahang di sini hari ini

KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang menerima 14 buah motosikal baharu bagi kegunaan Op Rahmah sepanjang musim tengkujuh.

Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, perolehan aset terbabit bagi tujuan pemantauan kawasan berisiko banjir di semua 11 daerah di negeri ini.

“Selain motosikal, aset baharu yang diterima tahun ini termasuk juga kenderaan pacuan empat roda sebanyak tiga buah yang diterima pada September.

“APM Pahang juga menerima sembilan buah ambulan pacuan empat roda yang ditempatkan di kawasan yang bentuk geografi agak mencabar seperti Cameron Highlands, Bentong, Lipis dan Rompin,”katanya.

Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat/Bersekutu Serta Penyerahan Motosikal Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, (PA) Abdul Wahab Rahim di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 150 anggota dan pegawai APM Pahang diberikan pingat, watikah dan sijil penghargaan di atas kecemerlangan perkhidmatan berdasarkan penilaian bermula awal tahun ini.

Che Adam A Rahman (kiri), Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, (PA) Abdul Wahab Rahim (tengah) di Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat/Bersekutu Serta Penyerahan Motosikal Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang

Dalam pada itu, Che Adam memberitahu, pihaknya turut mengadakan kolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pasukan penyelamat yang lain dalam menghadapi MTL.

“Kesiapsiagaan anggota dan pegawai Pertahanan Awam di peringkat negeri Pahang ada 820 orang, dan aset-aset kita merangkumi 71 kenderaan darat dan 80 aset di air.

Dengan kelengkapan dan aset mencukupi yang diperoleh, beliau berkata APM Pahang bersedia menghadapi MTL sehingga bulan Mac tahun hadapan. – MalaysiaGazette