Tangkap layar Israel mengempur Tebing Barat.

TEL AVIV – Regim Israel menggunakan sepenuhnya tempoh gencatan senjata sementara di Gaza untuk mengempur dan menahan beratus penduduk Palestin di Tebing Barat.

Regim Zionis itu dilaporkan melakukan serbuan terbesar di Jenin dan beberapa daerah lain yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin bawah parti Fatah.

Menurut Al-Jazeera, pasukan bersenjata Israel telah menahan seramai 3,290 penduduk di Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu dan 168 ditahan dalam tempoh empat hari gencatan senjata berlangsung.

Kejadian terbaharu seramai lima rakyat Palestin cedera akibat serbuan tentera Israel yang dilaporkan turut membuat halangan di pintu masuk Hospital Khalil Suliman dan Ibn Sina selain mara ke Hospital al-Razi.

“Kami telah mendengar bahawa tentera Israel telah mengepung hospital dan kami difahamkan mereka berminat menangkap orang yang cedera di dalam hospital.

“Jenin, selama bertahun-tahun, telah menjadi pusat bagi kumpulan penentangan bersenjata Palestin dan itulah sebabnya ia menjadi tumpuan perhatian oleh tentera Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini, malah beberapa bulan. Tetapi terdapat peningkatan sejak perang bermula pada 7 Oktober,” katanya.

Menurutnya, lebih 50 kenderaan berperisai diiringi oleh sekurang-kurangnya empat jentolak menyerbu kawasan kejiranan bersebelahan dengan kem pelarian Jenin.

Penduduk tempatan memberitahu bahawa mereka telah melihat berpuluh-puluh askar Israel berjalan kaki, pemandangan yang jarang berlaku di kawasan itu, yang telah dilihat selama berbulan-bulan.

Sementara itu rakaman yang tular di media sosial menunjukkan regim Zionis turut menahan remaja selain mengarahkan agar rumah dibom dan jalan raya dirosakkan. – MalaysiaGazette