Kon Yeow (tengah) melakukan tinjauan di lokasi kejadian runtuhan bangunan logistik di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

BATU MAUNG – Kerja-kerja mengalihkan rasuk (beam) yang runtuh di lokasi kejadian pembinaan bangunan logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, telah selesai 80 peratus.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, rasuk serta saki baki runtuhan perlu dialihkan bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Mohamed Usuf.

“Bermula dari 10.30 malam sehingga kini kerja-kerja mengalihkan rasuk serta saki baki runtuhan dilakukan dan operasi itu diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan perlu dilakukan terlebih dahulu kerana kita tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan pasukan penyelamat sebelum mereka melakukan SAR.

“Setakat ini, kita menggunakan khidmat bantuan dua buah kren untuk kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan dan ia telah selesai 80 peratus,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid melakukan tinjauan di lokasi kejadian kira-kira 20 minit bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung SAR tersebut.

Kon Yeow (topi merah, tengah) meninjau lokasi kejadian.

Mengulas lanjut Mohamed Usuf berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik semua sisa runtuhan dialihkan.

“Identiti kesemua sembilan mangsa telah dikenal pasti dan mereka berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun.

“Seperti saya maklum sebelum ini lima mangsa telah dikeluarkan yang mana tiga daripadanya meninggal dunia manakala dua lagi parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Bagi empat mangsa yang masih tertimbus pula, kita sudah kenal pasti identiti cuma usaha mengeluarkan mereka dari lokasi runtuhan sedang giat dilakukan,” katanya.

Tambah Mohamed Usuf, masih terlalu awal untuk pihaknya mendedahkan punca runtuhan bangunan logistik tersebut.

“Masih terlalu awal untuk kita maklumkan punca kejadian kerana kita perlu perincikan maklumat termasuk daripada JBPM serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum merumuskan punca kejadian,” jelas beliau. – MalaysiaGazette