KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan sebanyak 4,900 projek yang menumpukan kepada ekonomi, keselamatan, dan infrastruktur serta kepentingan kesejahteraan rakyat sejak setahun lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kejayaan cemerlang tersebut di bawah Kerajaan Perpaduan itu adalah satu lakaran sejarah baharu antaranya dari segi jabatan kerajaan tempatan sejak kementerian itu ditubuhkan.
“Untuk makluman semua, KPKT menfokus kepada kesejahteraan rakyat dan dalam tahun pertama ini sahaja telah berjaya melaksanakan sebanyak 4,900 projek yang berdasarkan kepada ekonomi, keselamatan, dan infrastruktur serta yang penting kesejahteraan rakyat.
“Semua projek ini termasuk KPKT membuat menaik taraf pasar awam, membaik pulih dewan orang ramai, membaiki cerun bukit, membina rumah mampu milik, menaik taraf tandas BMW (Bersih, Menawan, Wangi) dan kita buat juga cerun di longkang, parit dan lain-lain.
“Ini adalah jumlah bilangan projek yang paling banyak dalam sejarah sebanyak 4,900 dalam satu tahun pertama sahaja. Bayangkan jika 10 tahun, sebanyak 50,000 projek infrastruktur awam akan berjaya disempurnakan dalam tempoh ini demi rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1 sempena Porgram Setahun Bersama Kerajaan Madani: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming menambah, dari segi perumahan, KPKT telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyelamatkan projek-projek terbengkalai yang telah berlarutan sekian lama.
Menurut beliau, pasukan ini telah berjaya menyelamatkan 301 projek yang telah pun terbengkalai di mana jumlah nilai projek tersebut sebanyak RM28.8 bilion.
“Ia melibatkan 37,000 pembeli rumah yang dahulunya walaupun sudah bayar (bank) tetapi tdiak dapat kunci dan hari ini kita bersyukur mereka sudah dapat kunci.
“Ini merupakan satu kejayaan yabf tidak pernah dicapai sebelum dan pasukan petugas khas ini yang dipengerusikan sendiri oleh timbalan menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencapai satu pencapaian yang merangsangkan,” katanya.
Kor Ming memberitahu, selain isu projek rumah terbengkalai, rumah mampu milik juga menjadi fokus kementerian di mana tahun ini Prima Corporation bakal menjadi pembina rumah mampu milik terbesar di negara.
Ujar beliau, menjelang satu tahun pertama ini, PRIMA akan menyiapkan lebih kurang 9,000 unit rumah mampu milik yang sedia ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
“KPKT membina rumah bukan sahaja berdaya huni tetapi ia juga mampu milik dan bukan mampu tengok.
“Selain daripada itu menerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) SPNB, KPKT juga berjaya melepasi sasaran.
“Pada awal tahun ini, kita tetapkan 4,000 unit rumah mesra rakyat dan saya yakin menjelang bulan depan kita akan melepasi sasaran menyiapkan 5,025 unit iaitu 25 peratus lebih daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Dari segi merancakkan ekonomi, Kor Ming berkata, KPKT memiliki Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar di mana kementerian itu telah berjaya melahirkan 16, 294 usahawan yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan B40 dan mereka yang kurang pendapatan.
“KPKT memberikan latihan kepada mereka, membekalkan peralatan dan membuat pemantauan dalam tempoh enam bulan.
“Dalam tempoh itu kita pastikan mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk menjalankan perniagaan selaras dengan misi nasional kita iaitu wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar menjelang Disember ini,” katanya.
Kor Ming turut mendedahkan rahsia prestasi cemerlang KPKT itu dalam tempoh setahun di mana beliau telah pun menyuntik nilai-nilai baharu dari segi kepimpinan dan budaya kerja sebaik memasuki kementerian itu.
Jelas beliau, ia berpaksikan kepada lima prinsip Rukun Negara apabila KPKT telah melahirkan tiga prinsip falsafah pimpinan utama iaitu pertama adalah lebih kuat bersama di mana semua 22,000 warga kerja KPKT wajib bekerja sebagai satu pasukan.
“Kerana kita percaya kita percaya akan kuat jika bekerja bersama. Yang kedua memupuk perpaduan dalam kepelbagaian kerana semua sedar masyarakat Malaysia adalah berbilang kaum dan budaya serta ia prinsip kedua KPKT.
“Dan yang paling penting, demi pertiwi kerana apa-apa kita lakukan dalam kementerian kita, lakukan demi pertiwi iaitu demi tanah air dan tanah tumpah kita yang tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette