Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluasan syarat itu akan memberi peluang kepada 35,000 lagi permohonan daripada keluarga kurang mampu.

Selain itu Perdana menteri memberitahu, kerajaan bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan 3 berbanding sehingga tingkatan 1 yang disyaratkan sebelum ini.

“Dengan langkah ini kerajaan menjangkakan seramai sejuta murid akan menerima manfaat menerusi bantuan ini dengan peruntukan berjumlah RM150 juta,” katanya ketika berucap pada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM16.3 bilion pada tahun depan berbanding  RM15.3 bilion pada tahun ini.

Katanya, bagi meningkatkan tahap keselesaan penuntut di Institusi Pengajian Tingg, kerajaan menyediakan dana berjumlah RM300 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan prasarana serta menggantikan peralatan lama yang sudah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan.

“Dalam pada itu kerajaan juga menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian jalur lebar Wi-Fi di semua universiti awam di negara ini demi manfaat mahasiswa dan mahasiswi,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast