Muhammad Yasin Sulaiman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini melepas dan membebaskan penyanyi, Muhammad Yasin Sulaiman yang berdepan tiga petuduhan kes dadah.

Namun Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin memerintahkan Muhammad Yasin yang juga seorang komposer muzik untuk dihantar ke Hospital Bahagia di Perak.

Tertuduh akan berada di hospital di Ulu Kinta, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Sebelum ini keluarga Muhammad Yassin memohon supaya tertuduh diberi peluang untuk meneruskan rawatan bagi penyakit ‘bipolar disorder’ dan ‘hyperthyroidism’ di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pada 3 Oktober lepas, mahkamah telah memerintahkan Muhammad Yasin untuk  membela diri terhadap tiga pertuduhan dadah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ketika itu juga, mahkamah memberi tiga pilihan kepada Muhammad Yassin bela diri namun dia memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast