Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Semakan kadar pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak dengan pembentangan Warta Kerajaan Persekutuan pada 24 November 2023 susulan daripada persetujuan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pemberian khas sebanyak RM300 juta tersebut adalah merupakan pengaturan interim (interim arrangement) sebagaimana yang diperjelaskan dalam kenyataan media Perdana Menteri semalam.

Menurut beliau, warta ini boleh dipinda pada bila-bila masa sebaik persetujuan baharu dicapai di antara ketiga-tiga peringkat kerajaan

“Di samping menuntut penjelasan tentang asas kadar baharu tersebut, saya fikir YB Tuaran (Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau) juga mempunyai kewajiban untuk membuat penjelasan bagaimana Kerajaan Negeri pimpinan Warisan pada tahun 2019 telah membuat persetujuan rasmi untuk kadar kenaikan yang jauh lebih rendah iaitu hanya RM53.4 juta sahaja, berbanding RM300 juta yang baru diwartakan.

“Pada masa itu, warta dalam proses dikeluarkan tetapi tidak selesai sepenuhnya apabila Kerajaan Warisan terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah setelah majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menyokong kepimpinan Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Panglima Shafie Apdal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli-ahli Parlimen Sabah yang menuntut Kerajaan Persekutuan menjelaskan  formula pemberian khas sebanyak 40 peratus hasil negeri tersebut.

Madius (UPKO) berkata, isu berkenaan penting dan harus dibahaskan di Dewan Rakyat supaya wakil rakyat berkenaan mendapat menjelasan sekaligus dapat menyampaikannya kepada rakyat.

“Kami Ahli-Ahli  Parlimen Sabah sangat prihatin dan terkejut sebab warta ini sama dengan warta yang telah dibentang pada tahun 1971 iaitu satu warta yang mewartakan kuantum Pemberian Khas  di bawah Artikel Perkara 112(c) ini, dengan itu hak Sabah mendalatkan 40 peratus ditiadakan begitu sahaja, sehinggakan status di Sabah itu dipersoalkan,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin (Gabungan Rakyat Sabah).

Terdahulu katanya, usul supaya isu pemberian khas Sabah itu dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini ditolak.

Sidang media Ahli-Ahli Parlimen Sabah di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menambah, sebaik kerajaan baharu dibentuk pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), persetujuan Kerajaan Warisan pada kadar hanya RM53.4 juta tersebut telah ditarik balik oleh Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Jelas beliau, persetujuan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Warisan pada masa tersebut secara jelas terkandung dalam surat rasmi Kerajaan Negeri kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019.

“Perkara ini juga disebut dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2020. Dalam surat tersebut, persetujuan itu tidak memyebut syarat khusus, tanpa menyebut tuntutan 40 peratus, dan tidak juga menyebut kadar ‘interim’, berbanding pendirian Kerajaan Negeri kini.

“Sebagai Timbalan Ketua Menteri pada masa tersebut, saya fikir YB Tuaran bertanggungjawab untuk membuat penjelasan kepada rakyat Sabah apakah asas bersetuju dengan hanya kadar RM53 juta, apatah lagi surat Kerajaan Negeri Warisan itu secara jelas menyatakan bahawa persetujuan yang dirujuk kepada Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan Bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu RM300 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak yang telah disempurnakan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan semakan kadar amaun pemberian khas melalui penyelesaian secara interim itu telah diwartakan.

“Bagi melaksanakan semakan kadar amaun pemberian khas baharu ini berdasarkan Perkara 112D(1) dan 112D(5) Perlembagaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sarawak) 2023 telah diwartakan dalam WartaKerajaan Persekutuan pada 24 Nov 2023,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette