RAMALLAH – Empat rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak dan remaja terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Jenin di wilayah Tebing Barat pada Rabu lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dua mangsa tersebut dikenali sebagai Adam Samer al-Ghoul berusia 8 tahun dan Bassel Suleiman Abu al-Wafa, 15.
Menurut laporan media, rakaman CCTV merekodkan kedua-dua insiden tembakan tersebut semasa serbuan oleh tentera Israel di bandar Jenin. Adam Samer ditembak di kepala dan Basil Suleiman meninggal dunia selepas ditembak di dada.
Rakaman CCTV yang disiarkan di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak terjatuh di atas jalan dalam kawasan kem selepas terkena tembakan peluru.
Video lain pula menunjukkan seorang remaja terkena tembakan di jalan, meminta pertolongan sambil lebih banyak peluru ditembak di sekelilingnya.
Di Hospital Jenin, kedua-dua mangsa tersebut disahkan meninggal dunia dan dua anggota kumpulan bersenjata turut terbunuh semasa serangan oleh pasukan Israel yang bermula pada Selasa malam.
Sebelum serbuan di Jenin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 225 rakyat Palestin, termasuk lebih daripada 50 kanak-kanak telah dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) turut mengumumkan bahawa mereka menangkap 17 individu di kem tersebut serat meruntuhkan sebahagian infrastruktur termasuk rangkaian air, elektrik dan loji rawatan kumbahan.
Perang di Gaza meningkatkan ketegangan di Tebing Barat, di mana serbuan tentera Israel berlaku setiap hari di seluruh kawasan itu sejak perang bermula pada bulan lepas. – AGENSI