NUTP medicare
(Dari kiri) Fouzi Singon, Aminuddin Awang, Shamsul Azman Alias dan Chong Kok An pada majlis pelancaran kad perubatan NUTP Medicare di Shah Alam, Selangor, hari ini. - Gambar: Ihsan NUTP

SHAH ALAM – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) melancarkan kad perubatan NUTP Medicare istimewa untuk guru-guru melalui kerjasama dengan Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Medicare Extra Sdn Bhd.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, NUTP Medicare menawarkan perlindungan alternatif kepada lebih 400,000 guru untuk mendapatkan rawatan penghospitalan dan pembedahan di hospital pakar swasta di seluruh negara melalui kadar sumbangan mampu milik dengan nilai perlindungan komprehensif.

Menurut beliau, inisiatif kad perubatan tersebut turut membolehkan guru-guru mendapatkan rawatan perubatan lebih pantas dengan kemudahan kemasukan tanpa tunai melalui lebih 160 panel hospital pakar swasta di seluruh negara.

“NUTP Medicare mempunyai empat jenis pelan dengan had tahunan antara RM100,000 hingga RM200,000, manakala kadar sumbangan tetap bermula serendah RM70 sebulan bagi pelan individu dan RM180 sebulan bagi pelan keluarga.

“Lebih istimewa apabila pelan keluarga NUTP Medicare ini memberi perlindungan kepada ahli, pasangan dan semua anak tanpa had bilangan. Had umur anak dilindungi pula bermula dari 30 hari sehingga 19 tahun atau 23 tahun sekiranya masih belajar sepenuh masa,” katanya ketika melancarkan Skim Takaful Perubatan NUTP Medicare di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon; Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Shamsul Azman Alias dan Pengurus NUTP Medicare, Chong Kok An.

Aminuddin menambah, tahap kesedaran penjawat awam termasuk guru untuk memiliki perlindungan takaful masih rendah walaupun pelbagai program kesedaran dan pendidikan telah dilakukan dengan alasan utama adalah komitmen kewangan yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau memberitahu pengenalan kad perubatan NUTP Medicare adalah langkah yang tepat kerana kadar sumbangan yang dikenakan adalah rendah dan mampu dimiliki manakala nilai perlindungan tetap komprehensif.

“Produk ini bukan sekadar lebih murah berbanding produk lain di pasaran walaupun manfaatnya sama, tetapi turut disediakan khidmat lepas jualan yang terbaik daripada pihak pengendali.

“Penyertaan dalam program ini dapat membantu guru-guru yang terlibat dalam kecemasan serta kesukaran terutama dalam mendapatkan perkhidmatan perubatan yang terbaik dan selesa,” jelasnya. – MalaysiaGazette