Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga anggota polis dari Cawangan Khas yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan dan ugutan ke atas seorang wartawan antarabangsa warga Bangladesh pada awal November telah ditahan kerja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, manakala dua lagi rakan setugasnya juga anggota polis dari cawangan sama masih berada dalam siasatan polis untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini polis KL sudah ambil tindakan tahan kerja ke atas seorang anggota manakala kita masih menunggu tindakan susulan sebab kes ini di bawah siasatan polis Kontinjen Selangor.

“Manakala kita akan melihat pada hasil siasatan dan kalau perlu akan tahan kerja ke atas dua lagi anggota dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Tambah beliau, siasatan sudah selesai dijalankan dan pihaknya masih menunggu keputusan dari pihak atasan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tangkapan tiga penjawat awam dan tiga lelaki tempatan ditahan 10 November lalu selepas disyaki menculik dan peras ugut seorang warga asing.

Katanya, pihak polis menerima laporan daripada anak saudara mangsa berhubung kejadian itu pada 8 November lalu.

“Pengadu menyatakan bapa saudaranya meminta untuk diselamatkan dengan membawa sejumlah wang.

“Kemudian pengadu menerima panggilan daripada satu nombor yang tidak dikenali memberi amaran supaya tidak membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak di atas maklumat sepasukan polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan tiga lelaki yang juga penjawat awam terbabit dalam operasi jam 9.30 malam sekitar di Lembah Klang.

Katanya, kesemua penjawat awam dan tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 (khianat) dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan salah).

“Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung kes ini tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial berhubung penculikan membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh yang juga seorang wartawan sebuah media antarabangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast