Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli optimis pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif pada tahun depan mendapat sambutan positif daripada majikan.

Ujar beliau, perbincangan dan libat urus awal dengan industri berkaitan menunjukkan respon yang positif.

“Saya sendiri majikan, kita telah bercakap dengan dewan-dewan industri dan sebagainya saya yakin sebenarnya majikan akan menyertai.

“Isunya sebenarnya lebih kepada risiko yang kita perlu tangani iaitu terlalu banyak syarikat nak menyertainya sebab kalau dalam sektor pekerjaan, pasaran bakat sekarang isu utama kepada majikan adalah mendapatkan bakat yang begitu setaraf dengan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam  sidang media di Pasca Pembentangan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini Rafizi berkata, pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif akan bermula Jum tahun depan membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

Katanya, meskipun penyertaan adalah secara suka rela namun pemilihan syarikat akan dibuat secara telus berdasarkan prinsip kesaksamaan, tahap keperluan sektor dan sokongan dasar.

Sebagai rekod,  Dasar Gaji Progresif bertujuan untuk menangani isu gaji rendah yang membelenggu golongan pekerja di negara.

Tiga ciri asas pelaksanaannya adalah penyertaan sukarela oleh majikan, kerajaan akan memberikan insentif untuk menggalakkan seberapa ramai majikan dan pekerja menyertainya serta di pihak pekerja ia mesti terkait dengan produktiviti.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan akan memastikan garis panduan yang bakal diwujudkan bersifat spesifik.

“Kita akan bermula dengan jawatankuasa-jawatankuasa, Jawatankuasa Kabinet akan memandu pelaksanaan dan dari segi cadangan sektor, syarikat proses itu di Jawatankuasa Pelaksanaan yang dipengerusikan bersama saya dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

“Sudah tentu semasa kita membangunkan ini kita sudah ada beberapa konsep dan panduan bagaimana kita nak memilih, ia perlu bergantung sengan beberapa syarat pertimbangan.

“Sudah tentu pertimbangan ini akan dibincang dan dimuktamadkan oleh jawatankuasa termasuklah sektor yang berkemampuan melonjakkan gaji dengan menyertai model ini.

“Kita ada pelbagai sektor. Kalau sektor itu jurang gajinya begitu besar, kalau kita pilih dan kita tumpukan untuk sektor itu kebarangkalian jumlah majikan yang mampu melaksanakannya mungkin terlalu rendah. Jadi faktor kemampuan dan jurang gaji itu penting,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast