KUALA LUMPUR – Lebih 80 mangsa tampil mendedahkan kerugian lebih RM11 juta selepas ditipu sebuah syarikat pelaburan hartanah yang masih lagi aktif namun belum ada sebarang maklumbalas daripada pihak berwajib.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya juga difahamkan jumlah mangsa sebenarnya lebih ramai namun masih tiada sebarang tindakan sehingga menimbulkan kebimbangan.
Hishamuddin mendedahkan, mangsa juga sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa bulan lepas namun tiada status atau makluman berhubung siasatan berkaitan penipuan pelaburan tersebut yang memperdaya ribuan individu.
“MHO amat berterima kasih dengan JSJK kerana sentiasa tampil komited dengan aduan kita, ada kes yang kita dapat maklum balas tapi aduan yang dibuat mangsa-mangsa ini masih belum dapat respon positif sehingga memaksa mereka tampil kepada kita untuk maklumbalas peringkat atasan PDRM.
“Jadi hari ini 80 mangsa ini hadir ke JSJK bagi menghantar permohonan bagi mendapatkan perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah berkaitan kes pelaburan hartanah.
“Untuk pengetahuan, mangsa-mangsa ini ditawarkan pembelian hartanah melalui lot dengan modal serendah RM3,600 dan menjanjikan pulangan dividen RM540 satu lot dalam masa 45 hari. Syarikat ini juga dakwa ada beberapa hartanah di Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Bukit Tinggi, dan Arau tapi tidak dapat dibuktikan kesahihannya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah beliau, pihaknya mahu tahu perkembangan sama ada skim pelaburan yang ditawarkan sahih atau sebaliknya selain mendapati syarikat tersebut tidak didaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Malah Hishamuddin berharap polis melakukan siasatan ke arah mana aliran wang yang dilaburkan mangsa.
“Kita juga mahu polis siasat sama ada dividen dijanjikan berdasarkan keuntungan pelaburan atau hasil modal pelabur. Tolong siasat beri perkembangan status siasatan selain melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita menggesa siasatan supaya tidak ada lagi yang tertipu seperti, kita sedang bercakap tentang mangsa mencecah ribuan dan kerugian puluhan juta, andai tidak ada tindakan maka syarikat sebegini akan terus kebal,” tegasnya. -MalaysiaGazette