ISTANBUL – Penjaga gol Manchester United, Andre Onana kembali melakukan kesilapan mudah bagi memboleh tuan rumah Galatasaray dua kali bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 3-3 awal pagi tadi.
Keputusan itu kini hampir menyukarkan impian pasukan Inggeris itu untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).
Alejandro Garnacho, Bruno Fernandes dan Scott McTominay menyumbat gol buat United dalam perlawanan menarik itu namun pasukan kendalian Erik ten Hag kekal di tangga tercorot Kumpulan A dengan empat mata daripada lima perlawanan, satu mata di belakang Copenhagen dan Galatasaray.
Impian juara Eropah tiga kali itu untuk layak akan ditentukan pada hari terakhir aksi peringkat kumpulan selepas Copenhagen seri 0-0 di Bayern Munich.
United mesti menundukkan Bayern, juara Kumpulan A pada 12 Disember ini untuk mara sambil berharap Copenhagen dan Galatasaray seri pada aksi sama. – Agensi