Dr Muharam Awang bersama isterinya, Fuziah Md. Taha.

BANGI – Faktor usia bukan penghalang bagi seorang pesara guru untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 79 tahun.

Dr Muharam Awang telah memulakan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lapan tahun lalu.

Bapa tujuh anak dan 17 cucu itu berazam untuk menamatkan pengajiannya walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Beliau yang menghadapi masalah mata kabur ekoran katarak terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menyiapkan tesis kajian beliau.

Atas halangan tersebut, beliau terpaksa meminta anaknya yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaip tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada penyelianya, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Dr. Zubir Idris.

Dr Muharam Awang menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu yang disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd. Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-51.

“Sewaktu mahu menyiapkan tesis, mata saya kabur dan saya tidak dapat membaca. Ketika itulah saya terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menaip semula tesis kajian saya.

“Pada Mei lalu, saya menjalani pembedahan katarak dan alhamdulillah, pandangan pulih dan saya berjaya menyiapkan tesis tersebut,” katanya.

Menurut Muharam, beliau pernah berasa rendah diri sewaktu masih di profesion perguruan dan mahu menjadikan ini satu kepuasan yang cukup bermakna buat dirinya.

“Dulu saya mengajar di sekolah rendah dan pada waktu itu sangat berbeza yang mana guru sekolah menengah dipandang tinggi. Dari situ wujud rasa rendah diri ditambah lagi saya pernah dicabar.

“Jadi saya sambung pengajian diploma pada tahun 1965. Saya pernah mengajar tingkatan enam untuk subjek Pengajian Am selain bersara sebagai tenaga pengajar di kolej,” ujarnya.

Perjuangan Muharam tidak terhenti di situ apabila beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, kesemuanya dilakukan kerana sikapnya yang cintakan dan dahagakan ilmu.

“Tesis untuk PhD memang berat dan pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi memerlukan kemahiran komputer. Perkara teknikal ini bagi saya susah.

“Alhamdulillah anak-anak sangat membantu selain pertolongan penyelia serta sokongan isteri, Fuziah Md. Taha, 71. Anak dan cucu saya pun melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus mereka juga motivasi kepada saya,” katanya.

Graduan warga emas ini berulang alik dari Melaka ke UKM untuk menghadiri kelas dan bertemu penyelianya. Bagi beliau, pengalaman belajar sehingga ke peringkat PhD adalah satu kepuasan yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

Muharam menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu yang disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd. Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-51. Majlis turut menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast