Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Dasar Gaji Progresif bukan bertujuan untuk menggantikan dasar-dasar sedia ada seperti dasar gaji minimum dan Sistem Upah Yang Dikaitkan dengan Produktivti (PLWS).

Sebaliknya, ianya bertujuan untuk menambah baik dan menjadi pelengkap kepada dasar-dasar sedia ada, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ini kerana Dasar Gaji Progresif memberikan kelainan dengan merangkumi ketiga-tiga ciri iaitu bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti berbanding dasar-dasar sebelum ini yang tidak merangkumi kesemua ciri tersebut.

Menurutnya, Kementerian Ekonomi bertekad untuk menjayakan pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif tahun hadapan sebelum pelaksanaan penuh bagi seluruh negara.

Beliau turut mengalu-alukan pandangan dan kupasan semua pihak, dan berharap konteks sebenar dikongsi dengan rakyat agar dapat mengekalkan momentum dan selesaikan masalah yang telah lama dan akan terus menjejaskan generasi-generasi rakyat yang akan datang. – MalaysiaGazette