KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengakui tidak teragak-agak akan melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen.
Beliau berkata, perkara itu hanya akan dilaksanakan jika semua pengundi di Parlimen Bukit Gantang menyatakan perkara itu kepadanya.
“Kalau ada pengundi yang gantung banner dan mereka semua tak mahu lagi khidmat, saya rela lepaskan jawatan ini.
“Selagi saya tak nampak dan tiada kumpulan pengundi hadir kepada saya, khidmat ini akan saya teruskan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG malam tadi dengan tajuk Biadab, Saya Buat Demi Rakyat.
Syed Abu Hussin sebelum ini membuat pengumuman secara terbuka di Dewan Rakyat pada Selasa lalu memberi sokongan terhadap kepimpinan perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia sekali gus memberi pelbagai tanggapan negatif terhadapnya dan tidak kurang mendakwa dirinya sebagai pengkhianat.
“Saya maklum ramai yang tak suka tapi semuanya bersifat politik.
“Apa yang saya lakukan adalah demi rakyat di kawasan Bukit Gantang yang memerlukan pembaharuan,” katanya.
Jelasnya, Bukit Gantang masih dalam keadaan tidak semaju kawasan-kawasan lain dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
“Saya mahukan perubahan di kawasan saya dan mengimpikan ada bandar baharu di sana.
“Kalau kita asyik berpolitik tanpa memikirkan soal kebajikan rakyat, susahlah. Kasihan pada mereka yang mahukan pembangunan dan ekonomi yang baik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, selama setahun duduk di kerusi pembangkang, tiada usaha yang dilakukan bagi mendapatkan pembelaan terhadap rakyat di kawasannya.
“Mereka (Perikatan Nasional) hanya berpolitik dan mahu menukar kerajaan, tapi setahun perkara itu tidak berlaku, sedangkan rakyat di bawah mahukan pembaharuan di kawasan, bantuan dan macam-macam lagi.
“Saya sudah beri tempoh kepada pucuk pimpinan, tapi tetap tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan.
“Saya dipilih oleh pengundi untuk memastikan ada usaha dan kebajikan kepada pengundi, namun kalau perkara ini tidak dapat dibezakan oleh parti dan menyifatkan ada perkara lain, saya tak boleh nak cakap apa-apa, terserahlah,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai desakan parti untuk melepaskan jawatannya, Syed Abu Hussin mengulangi pendirian hanya melepaskan jawatan jika pengundi yang membawa perkara itu.
“Saya tidak akan tunduk kepada parti, tetapi tengoklah nanti. Masih terlalu awal. Tapi, saya tegaskan keputusan ini adalah untuk mengundi di Bukit Gantang,” katanya. – MalaysiaGazette
PN ni asyik ceramah 24 jam..makan gaji buta…Ingat pengundi mengundi penceramah kaaa…dah setahun PRU tak habis2 duk ceramah politik