Gambar hiasan

GUA MUSANG – Penduduk Kuala Tol mendakwa insiden serangan harimau belang hingga meragut nyawa di penempatan itu tidak pernah berlaku dalam tempoh lima dekad lepas.

Seorang pekebun Mohd Zain Ismail, 81, berkata, beliau sudah mendiami kampung itu selama 55 tahun dan tidak pernah mendengar berita mengenai kejadian serangan binatang buas itu sebelum ini.

“Sepanjang saya menetap di kampung ini tidak pernah lagi ada kejadian harimau membaham manusia. Ini adalah sejarah paling buruk apabila sudah tiga orang dilaporkan maut di kawasan Pos Pasik, Kampung Meranto dan Kampung Kuala Tol.

“Sekarang ini penduduk nak cari makan dengan hasil tanaman di kebun sangat susah kerana ketakutan dengan ancaman harimau belang ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Mohd Zain berkata, walaupun bimbang dengan kejadian terbabit, penduduk terpaksa meneruskan aktiviti berkebun yang merupakan sumber pendapatan mereka.

Bagi pekebun Ismail Che Pa, 66, tiga insiden ngeri yang berlaku secara berterusan dalam bulan yang sama memberi impak terhadap punca pendapatan lebih 100 pekebun yang kini terjejas kerana takut untuk ke kebun.

“Sekarang ini penduduk hanya berada di rumah dan tidak boleh pergi ke mana-mana. Nak ke sekolah pun ada yang terserempak dengan harimau, betapa kritikalnya keadaan sekarang.

“Kebanyakan daripada kami di sini hanya bekerja bersendirian tanpa bantuan pekerja jadi kita tidak bergerak secara berkumpulan,” katanya.

Turut senada pekebun Tuan Abdullah Tuan Ismail, 61, yang kini hanya berada di rumah buat sementara waktu.

“Sebelum ini saya pernah terdengar bunyi ngauman harimau dan saya terkejut dengan kejadian yang menimpa seorang warga Indonesia yang mencari rezeki menoreh getah di kampung ini.

“Kami berharap ada tangkapan haiwan liar dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana sangat bimbang dengan keselamatan nyawa terutamanya ketika ingin ke kebun,” katanya.

Pada Rabu (29 Nov) seorang pekerja ladang lelaki warga Indonesia Shabaini, 36, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan pada bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Kejadian itu merupakan serangan harimau ketiga bulan ini.

Sebelum ini pada 12 Nov lepas, seorang lelaki warga Myanmar Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut pada 1.30 tengah hari dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto, di sini.

Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di Hutan Simpan, Kampung Meranto. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast