KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi di Kemaman perlu berani melakukan perubahan dengan memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
Pesanan itu disampaikan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu apabila berkata, sebelum ini orang Melayu telah ditakutkan dengan persepsi Islam terancam.
Namun, hampir setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, seluruh rakyat mendapat pembelaan baik sama ada Melayu, Cina dan India.
“Kita mampu memperbaiki negara ke arah yang lebih baik, oleh itu saya menyeru semua bekerja keras untuk memenangkan calon dari BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Dalam hantara itu, Mohamad turut berkongsi gambar beliau berceramah di Pusat Daerah Mengundi Berenjut di Kemaman.
Turut kelihatan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.
PRK Kemaman yang berlangsung esok bakal menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menentang wakil Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu. – MalaysiaGazette