Reaksi penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir pada sidang media mengenai video yang tular petang semalam di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 17 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi hari ini berkata, polis telah selesai mengambil keterangan daripada Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir, 33, yang membuat aduan berhubung kes ini Khamis lalu.

“Kita (polis) telah selesai ambil keterangan Abdul Wahab kelmarin (30 November).

“Namun, dalam kes ini beberapa lagi saksi lain akan dipanggil polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wahab dakwa diganggu secara seksual oleh Agus – KPN

Tambah Razarudin lagi, ia merupakan siasatan baharu yang dikendalikan oleh polis ketika ini.

“Ini merupakan siasatan baharu. Manakala, kertas siasatan berkaitan kes dakwaan video fitnah perbualan lucah mengaitkan Mohammad Agus pula telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara semalam (Jumaat),” ujarnya.

Semalam, Pegawai tertinggi PDRM itu mengesahkan bahawa pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan laporan polis Abdul Wahab yang mendakwa dirinya telah diganggu secara seksual oleh Mohammad Agus di Bintulu, Sarawak.

Katanya, siasatan itu dijalankan selepas Abdul Wahab ditemani peguamnya, Faizal Abdul Rahman membuat laporan polis di Balai Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 30 November lalu.

Razarudin berkata, Wahab mendakwa menerima gangguan secara seksual itu daripada Agus di sebuah hotel di Bintulu dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu.

Jelasnya, polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.- MalaysiaGazette