Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan kes gangguan seksual melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ke atas Abdul Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abd Kader Jilani yang dikatakan berlaku di Bintulu, Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan daripada Abdul Wahab yang berusia 33 tahun.

“Berdasarkan laporan itu, Abdul Wahab mendakwa kejadian itu berlaku ke atas dirinya pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel.

“Polis telah membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan,” katanya pada hari ini.

Tambah beliau, Abdul Wahab membuat laporan polis itu sebagai perlindungan untuk diri sendiri dan pada masa yang sama menafikan sekeras-kerasnya terlibat di dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Mohammad Agus.

Jelas Razarudin lagi, polis masih meneruskan siasatan dalam kes berkenaan dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan membantu siasatan polis.

Artikel berkaitan:Dr Agus letak jawatan Ketua Pengarah J-KOM?

Mohammad Agus adakan sidang media malam ini

Saya diperangkap – Dr Agus

Wahab akui jadi ‘kambing hitam’ Mr. H untuk jatuhkan Agus

Polis sahkan terima laporan Agus

Siasat segera rakaman video lucah babitkan Agus – Armada

PDRM akan panggil Mohammad Agus sekali lagi ambil keterangan – KPN

Teknik voice over video Agus, Wahab sukar dilakukan – Nam Ron

Dr Agus akan dirakam keterangan semula esok – KPN

Video berunsur lucah: Agus beri keterangan di IPD Kajang petang ini

Agus dedah identiti Mr. H kepada polis

Terdahulu, pada 30 November 2023, Abdul Wahab ditemani peguamnya Faizal Abdul Rahman hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekitar jam 11 pagi untuk membuat laporan polis.

Bercakap kemudian kepada pemberita pada jam 4.45 petang di luar IPD Kajang, Abdul Wahab mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah yang tular di media sosial.

Abdul Wahab berkata, beliau mengalami tekanan dan masih trauma dengan apa yang berlaku membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.

Sebelum itu, Razarudin dilaporkan berkata, kertas siasatan berkaitan dakwaan video fitnah dalam kes ini dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat 1 Disember 2023 selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette