Gambar hiasan

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

KISAH poligami telah menimbulkan gelojak emosi yang tidak terkawal dalam kalangan masyarakat apabila pemberitaan tentang poligami dilaporkan di media. Seolah-olah mereka bersama-sama bersolidariti dengan isteri yang tua, tersakiti dan merasai penderitaannya. Sedangkan dalam amalan poligami, terdapat banyak kisah bahagia berbanding derita. Tetapi banyak kisah penderitaan yang dipaparkan hingga menimbulkan stigma dalam masyarakat yang mengaitkan poligami dengan kecurangan dan pengkhianatan suami.

Dalam merespons kisah-kisah yang dilaporkan di media, ramai orang yang tidak bertindak menjadi pendamai atau penyejuk keadaan. Sebaliknya mereka menjadi batu api dengan menghasut pihak terlibat agar meruntuhkan masjid yang dibina. Selagi pasangan suami isteri tidak bercerai, mereka tidak akan berpuas hati dan akan terus menerus mencari keburukan dan kelemahan pihak suami dan isteri baru. Campur tangan dan hasutan masyarakat hanya akan meruntuhkan masjid dan memusnahkan kehidupan.

Sewajarnya setiap perkahwinan perlu diselamatkan kerana yang menanggung  penderitaan akhirnya adalah golongan perempuan dan anak-anak juga. Golongan penghasut dan batu api akan berlepas diri. Jangan terlalu menjaga tepi kain orang kerana setiap rumahtangga mempunyai kisah yang tersendiri. Malahan setiap kita mempunyai golongan perempuan dalam rumah sama ada seorang nenek, ibu, kakak, adik atau anak dan cucu. Dengan itu, berhati-hatilah kerana kes-kes yang timbul dalam masyarakat adalah melibatkan perempuan dengan perempuan yang lain. Ibaratnya perempuan disakiti oleh perempuan lain.

Seringkali perempuan akan digelar sebagai penyondol berbanding lelaki. Sedangkan pokok tidak akan bergoyang tanpa angin yang bertiup. Ibaratnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan turut terlibat. Apa yang lebih menghairankan, apabila kes poligami diperbesarkan oleh media, pihak lelaki lain turut menerima tempias kemarahan kaum perempuan berbanding kisah-kisah rumahtangga yang melibatkan kecurangan pihak isteri. Dasarnya perbincangan poligami adalah dalam ruang lingkup agama masing-masing.

Umat agama lain tidak perlu mencampuri atau mengkritik amalan ini sebab ia boleh menimbulkan kritikan balas yang tidak membawa sebarang kebaikan bersama malah melondehkan keburukan amalan yang dipraktiskan dalam masyarakat yang memilih segmen yang diharamkan Syarak seperti aktiviti pelacuran dan perzinaan, perempuan simpanan, gadis peneman, sugar baby, gundik, gigolo dan seumpamanya.

Ramai yang boleh terima gejala yang diharamkan oleh syarak ini berbanding solusi halal dan menjaga maruah perempuan. Ramai orang yang mudah dipengaruhi dan dimainkan emosi dengan propaganda pihak-pihak yang memburukkan amalan poligami. Dalam dunia digital, ramai orang sibuk memperkatakan dan mengambil tahu kisah rumahtangga orang lain, memberi komen melampaui batas, menghina fizikal, menjatuhkan maruah dan mempersendakan orang yang berpoligami tanpa rasa berdosa dan bersalah.

Memang enak bila bercerita tentang kisah hidup dan keburukan orang lain tetapi ingatlah bumi sentiasa berputar. Setiap orang ada harinya dan beringatlah dalam menjaja kisah hidup orang. Hari ini kita menjaja kisah orang, besok kisah hidup kita yang buruk akan disebarkan. Ingatlah sabda Nabi SAW berkaitan dengan batu api. Nabi SAW bersabda: Tidak masuk syurga (tanpa hisab) si penghasut (HR Muslim).

Apa yang membuka ruang kepada kes poligami di Malaysia adalah wujudnya sindiket yang menguruskan poligami luar negara. Ia kesempatan perniagaan yang m enguntungkan dan diuruskan secara terancang. Sindiket ini melibatkan penawaran pakej penuh yang bermula daripada perjalanan ke luar negara, pakej akad nikah sehinggalah urusan pendaftaran perkahwinan di Malaysia. Justeru kepada lelaki yang ingin berpoligami disarankan agar lebih bertanggungjawab dan tidak berkahwin melalui sindiket atau ke negara seberang untuk berpoligami. Patuhilah prosedur dan perundangan negara agar keharmonian rumahtangga dapat dipertahankan dan poligami lebih bermaruah. Pihak mahkamah akan mempertimbangkan kelayakan suami untuk berpoligami.

Selain itu, bagi mengelakkan kecurangan berlaku dalam perkahwinan, pihak suami dan isteri hendaklah menjaga batas pergaulan dan tidak membuka ruang kepada maksiat serta keterlanjuran. Jangan bermesra dan mengambil berat secara berlebihan. Ia akan membuka ruang kepada rasa simpati dan kasihan, dan akhirnya menjerat diri. Ini disebabkan banyak dilaporkan skandal tempat kerja yang membawa kepada gejala perzinaan dan penceraian. Bagi pihak isteri, mereka tiada pilihan untuk berpoligami berbanding suami yang punya baki kuota untuk berkahwin.

Sehubungan dengan itu, anak-anak lelaki mestilah dididik untuk menghormati perempuan dan tidak berlaku curang, manakala anak-anak perempuan hendaklah dididik untuk menjaga maruah, harga diri, menjauhi perbuatan zina dan tidak meruntuhkan rumahtangga orang lain. Jangan membina kebahagiaan atas penderitaan orang kerana ia tidak akan kekal.

Tegasnya, berpada-padalah dalam memberi komentar berkaitan dengan isu rumahtangga orang lain kerana ia tidak mendatangkan manfaat sebaliknya hanya mengundang dosa dan ketidakharmonian dalam masyarakat. Berilah peluang dan ruang kepada pasangan untuk menyelesaikan masalah peribadi mereka dengan damai tanpa gangguan. Jika kita tidak mampu jadi batu permata yang menyelamatkan rumahtangga, janganlah jadi batu api yang merosakkan rumahtangga orang.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya