Suspek membakar penyembur ubat nyamuk untuk menakutkan pekerja sebelum melakukan samun di kedai runcit di Kampung Johan Setia Klang. Foto Ihsan IPD Klang

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan sekumpulan suspek yang disyaki terlibat dalam jenayah samun bersenjata di sebuah kedai runcit dalam kejadian yang berlaku di Kampung Johan Setia, Klang 29 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan itu dibuat selepas seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun di Kampung Bunga Raya, Kuang, Selangor.

Suspek yang ditangkap mempunyai 11 rekod lampau kesalahan jenayah dan tujuh kes dadah.

Seterusnya pada jam 11 malam selepas tangkapan suspek pertama, dua lagi suspek warga tempatan berumur 23 dan 30 tahun disyaki bersubahat ditangkap di kawasan Bukit Tinggi, Klang.

Semasa serbuan dibuat, pasukan polis juga berjaya merampas pakaian dan beberapa barang kes untuk membantu siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga suspek itu telah direman selama lima hari sehingga 5 Disember ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, polis menerima laporan polis daripada seorang wanita tempatan mendakwa kedainya disamun.

Hasil siasatan mendapati semasa pekerja kedai runcit (mangsa) sedang menjalankan perniagaan telah didatangi empat suspek lelaki yang berpura-pura untuk membeli barang.

“Tiba-tiba salah seorang daripada suspek telah mengeluarkan pemetik api dan botol penyembur disyaki ubat nyamuk dan membakar di hadapan mangsa untuk menakutkan mangsa.

“Pada masa yang sama, dua daripada suspek telah masuk ke dalam kawasan kaunter kedai sebelum mengambil duit, dua karton rokok, tiga tabung derma dan telefon bimbit milik mangsa seterusnya melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Alza warna Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, dalam kejadian itu mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala nilai kerugian yang dialaminya dianggarkan lebih kurang RM800.

Kes disiasat di bawah seksyen 395/397 kanun keseksaan iaitu kesalahan samun dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.

Sebelum ini, rakaman video CCTV berdurasi 1 minit 9 saat itu tular di media sosial.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast