Anggota bomba sedang mengeluarkana mayat lelaki yang maut selepas terjatuh di landasan LRT Dato' Keramat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dalam keadaan kedua-dua kakinya digilis tren selepas terjatuh di landasan di stesen transit aliran ringan (LRT) Dato’ Keramat, di sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.05 malam.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki berusia 27 tahun terjatuh di landasan LRT berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua kaki mangsa digilis tren dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa yang dibawa naik ke atas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan operasi dilakukan dengan mendapatkan bantuan daripada pihak teknikal LRT terbabit bagi menggerakkan tren ke bahagian belakang.

“Ia bagi memudahkan anggota bomba mengeluarkan mangsa dari landasan LRT. Mayat mangsa berjaya dibawa ke platform LRT beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi selesai kira-kira jam 11.15 malam. – MalaysiaGazette