Menteri Besar Terengganu yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program MGSkop sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kedudukannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada malam ini.

Malah majoriti yang diperolehi parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu juga meningkat kepada 37,220 undi.

Jumlah majoriti itu adalah daripada 249 peti undi yang dikira daripada 244 saluran.

Dalam pada itu, sejumlah 428 kertas undi ditolak.

Keputusan rasmi menyaksikan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendapat 64,998 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 27,778 undi.

Pengumuman tidak rasmi itu diumumkan Pas di Arena Square, Chukai Kemaman.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) selepas memenangi 27,179 undi majoriti. – MalaysiaGazette