Dominic.

TELUK KUMBAR – “Adakah Parti Gerakan akan bertanding atau tidak di kawasan ini (Dewan Undangan Negeri) Bayan Lepas pada masa akan datang itu bukan isu, sebaliknya kita fokus untuk beri perkhidmatan terbaik buat pengundi di sini,”.

Demikian kata Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai ketika diminta mengulas sama ada Gerakan akan kekal bertanding di DUN Bayan Lepas susulan pembukaan pusat khidmat Perikatan Nasional (PN) di Jalan Gertak Sanggul di sini, hari ini.

Menurut Dominic, pembukaan pusat khidmat itu juga lebih kepada janji beliau ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada Ogos lalu.

“Kita tak kisah siapa yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang sama ada Bersatu, Gerakan mahupun Pas namun yang penting ketika ini sebagai komponen dalam PN kita beri perkhidmatan terbaik buat rakyat di sini,” katanya.

Dominic (tengah) merasmikan pembukaan pusat khidmat Perikatan Nasional (PN) DUN Bayan Lepas di jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

 

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Gerakan ada berbincang dengan Pas untuk membuka pusat khidmat di kawasan tersebut susulan DUN Bayan Lepas merupakan kerusi Pas sebelum PRU15, Dominic menjelaskan tiada keperluan untuk membuat sedemikian.

“Saya tak rasa perlu dapatkan kebenaran daripada komponen parti untuk membuka pusat khidmat kerana secara prinsip PN tidak menghalang sesiapa yang ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita (PN) tidak paksa mana-mana pihak untuk membuka pusat khidmat namun sekiranya pihak terbabit mampu semestinya PN akan menggalakannya,” katanya.

Pada PRN15, timbul konflik antara Gerakan dan Pas selepas Dominic menjadi calon bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

Pas Bayan Lepas dilaporkan membantah pencalonan Dominic untuk bertanding di kerusi itu yang majoritinya penduduk Melayu.

Dominic yang memperoleh 13,573 undi tewas kepada penyandang DUN Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz dengan majoriti 1,889 undi. – MalaysiaGazette