Tan Cheng Hoe

ALOR SETAR – Ketua jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe mahu pasukan  bimbingannya melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan yang dianggap semakin mencabar.

Beliau berkata hal ini kerana pertandingan di peringkat Asia itu kini dilihat sudah berubah dengan pasukan yang layak prestasi masing-masing sedang meningkat naik.

“Peringkat Asia kita kena betul-betul bersedialah … kita tak boleh ambil mudah, kalau kita lihat tahap Asia sekarang dah berubah dan banyak kelab dan pasukan sedang meningkat naik.

“Apa yang penting kita masih ada masa lagi untuk membuat persediaan dan pemain sendiri berpeluang tingkatkan kemahiran mereka. Saya harap semua lebih bersedia (kerana) kita tak mahu bermain di peringkat Asia kita dibelasah oleh pasukan lawan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, Selangor menewaskan Kedah 1-0, sekali gus muncul sebagai naib juara Liga Super dan menempah tiket ke saingan Liga AFC musim depan.

Beliau berkata kejayaan membawa Selangor ke Piala AFC disifatkan antara kenangan manis buat dirinya kerana belum pernah membawa mana-mana pasukan sampai ke tahap itu sebelum ini.

Sementara itu, mengulas perlawanan menentang KDA FC, Cheng Hoe berkata kemasukan Branden Gan pada babak kedua perlawanan memberi “tonik” kepada persembahan The Red Giants yang akhirnya berjaya mendapat gol yang dicari menerusi pemain Ayron Del Valle Rodriguez pada minit ke-64.

“Beliau (Branden Gan) pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi dan kemasukan beliau memberi tenaga baharu untuk pasukan kerana pada separuh masa pertama kita gagal menguasai perlawanan dan juga kekuatan bahagian pertahanan kita agak kurang,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata walaupun pasukan tewas, beliau tetap berbangga dengan kesungguhan dipamerkan kesemua pemain yang berjaya menghalang Selangor daripada mendapatkan lebih banyak jaringan.

“Kita banyak peluang menjaringkan gol tapi akhirnya Selangor dapat gol … komitmen dan prestasi (pasukan) saya sangat puas hati,” katanya yang kini mahu menumpukan perlawanan menentang Sabah FC pada 17 Dis ini bagi menentukan kedudukan tempat ketiga Liga Super. – BERNAMA