KUANTAN – Kerajaan Pahang memperketatkan proses bagi pajakan, gadaian, pindah milik dan pelupusan tanah rizab Melayu bagi menjaga kepentingan dan pegangan instrumen itu di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai lagkah memelihara khazanah, semua permohonan bagi tujuan pajakan dan pemilikan perlu diangkat untuk pertimbangan serta kelulusan pihak berkuasa negeri.
“Semua permohonan melalui Jadual Kedua (bagi tujuan pajakan) dan Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu (bagi tujuan pemilikan) Tanah Rizab Melayu perlulah diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
“Sehingga kini jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu yang telah diwartakan berkeluasan 397,619.05 hektar di seluruh Pahang,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.
Jelasnya, bagi memastikan keluasan kawasan tersebut dikekalkan, sebarang pembatalan ke atas rizab Melayu perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri dan penggantian kawasan baharu akan dilaksanakan serentak.
Selain itu bagi menambah jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu, semua Projek Skim Tanah Rakyat turut diwartakan sebagai kawasan Rizab Melayu.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pelaksanaan Skim Tanah Rakyat (STR) yang dijalankan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi pendapatan dan ekonomi rakyat bumiputera.
STR merupakan inisiatif melalui projek ekonomi yang dijalankan adalah berasaskan projek pertanian.
“Melalui pelaksanaan STR juga kerajaan negeri dapat memberi peluang kepada rakyat terutamanya golongan bumiputera yang masih belum memiliki tanah untuk memiliki aset.
“Ini sekaligus dapat dibangunkan secara ekonomik oleh pemaju yang dilantik seperti FELCRA, RISDA atau pemaju swasta,” katanya. – MalaysiaGazette