KUALA LUMPUR – Baru-baru ini genaplah setahun Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah.
Mengharungi pelbagai masalah, dugaan dan cabaran sepanjang tempoh itu bukanlah suatu eksperimen.
Hakikatnya, mentadbir sebuah negara yang telah matang kemerdekaannya, sentiasa memerlukan pengorbanan dan kebijaksanaan.
Semboyan Pilihan Raya Negeri dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil yang telah bergema dan bermulalah gendang politik berdendang untuk menguji ketangkasan, keutuhan dan kelestarian penubuhan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Belum pun pernah teruji semangat kekitaan dalam masyarakat majmuk di negara ini, secara tiba-tiba menjadi solusi terakhir pembentukan Kerajaan Perpaduan seperti yang terbina sekarang.
Sekali lagi pilihan raya kali ini memberi semarak nafas baharu kepada kepemimpinan Anwar dan menguji ketokohan beliau memimpin negara setelah lebih 30 tahun pernah menganggotai Kabinet Barisana Nasional.
Bermula daripada pembersihan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehinggalah reformasi ekonomi mencerminkan anjakan paradigma baharu dalam budaya politik tanah air.
Biar pun usia pemerintahan beliau sebagai perdana menteri baru sahaja mencecah setahun, ia boleh dianggap pada tahap permulaan terhadap pemerkasaan lanskap politik baharu yang menjulang amalan demokrasi negara lebih terbuka dan berstrategik.
Pendekatan politik Anwar telah mengubah wajah lanskap politik negara ini ke arah era penyatuan rakyat Malaysia secara reformasi kemakmuran dan perpaduan yang lebih tersusun bagi menghadapi gelombang arus masa depan negara yang lebih mencabar.
Strategi peperangan menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran memberi signifikasi bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya berupaya memperkasa imej dan reputasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa membenteras jenayah yang banyak mengancam demokrasi negara-negara Asia.
Walaupun Malaysia naik ke tangga 61, namun pencapaian negara berada di bawah Indeks Persepsi Rasuah 50 menunjukkan suatu usaha gigih memerangi jenayah tersebut harus digembeling dengan lebih meluas lagi pada tahun-tahun mendatang.
Penyatuan strategi negara menghadapi kemelut ekonomi negara pula sebenarnya adalah anugerah buat masa depan politik pemimpin negara ini.
Sebabnya pada ketika inilah usaha penyatuan dan perpaduan rakyat menghadapi gelombang mencabar ini menjadi tanda aras kebijaksanaan pimpinan Anwar untuk membina sebuah wajah Malaysia barharu yang dulunya tergores dengan pelbagai masalah dan rintangan semasa berlakunya pergolakan politik tanah air.
Pasca politik baharu yang disifatkan memberi gambaran kematangan rakyat memahami dan mengharungi realiti di sebalik kehidupan berisiko yang menuntut keadilan dan pemusatan gaya pengurusan negara yang lebih transperansi, menyanjung etika tadbir urus dan bijaksana melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Bermula dengan idea penyatuan nasional menerusi slogan Malaysia Madani sebagai teras dan kayu ukur pentadbiran beliau, Anwar telah mengorak suatu gagasan permulaan pasca politik Malaysia yang menyatukan semua kaum di bawah panji perpaduan rakyat, sekaligus menjadi saksi kemegahan rakyat membina negara yang ketika ini kalut diselubungi tempiasan arus kemelut ekonomi yang membelenggu negara dan kegusaran rakyat mengharungi dilema politik yang tidak berkesudahan.
Tidak cukup itu, Anwar memandang serius terhadap kegusaran rakyat terhadap penambahbaikan tarap sosioekonomi dan pendapatan rakyat yang terjejas akibat ketidakstabilan ekonomi negara akibat tempiasan masalah ekonomi antarabangsa yang melemahkan mata wang ringgit kita.
Bertepatan dengan kesungguhan kerajaan untuk memulihkan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat febomena kegawatan ekonomi ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah mengorak langkah menyatukan kefahaman prinsip politik bipartisan dengan menyatukan parti-parti politik yang bersetuju untuk bernaung di bawah payung demokrasi Kerajaan Perpaduan yang digagaskan oleh Seri Paduka Yang DiPertuan Agong.
Kesediaan kerajaan pimpinan Anwar untuk meminda perlembagaan persekutuan yang membuka lembaran baharu yang bakal menyaksikan penggubalan akta-akta baharu dan pnambahbaikan akta-akta sedia ada selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini adalah hadiah demokrasi yang ditunggu-tunggu oleh penggiat politik dan rakyat negara ini supaya amalan keadilan demokrasi dapat dimartabatkan.
Selaras dengan itu juga, pelbagai usaha dan isitiatif kerajaan pimpinan Anwar memperlihatkan penyantuan beliau terhadap kemahuan rakyat dengan mendahulukan keperluan rakyat membina semula nilai kehidupan mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, wabak bencana dan peningkatan kos kehidupan akibat ketidakstabilan ekobomi global.
Contohnya, inisatif permulaan membantu rakyat memperoleh pekerjaan menerusi pelan strategik telah nampak keberhasilannya apabila lebih 20,000 rakyat memperoleh pekerjaan menerusi MyFuture Jobs adalah suatu permulaan terbaik kepada kepimpinan negara untuk mencari penyelesaian kemasukan berjuta buruh asing bagi mengisi pelbagai ruang pekerjaan di negara ini.
Bukan sekadar itu sahaja, kerajaan berusaha menyalurkan pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi kepada sektor industri kecil dan sederhana bagi meningkatkan keuntungan dan pulangan pelaburan terhadap komitmen mereka mengembangkan bidang industri tersebut.
Ini diperlihatkan pemerkasaan Dasar Digital Malaysia yang meliputi sektor kerajaan,swasta dan kawasan luar bandar menerusi strategi penubuhan Pusat Ekonomi Digital (PEGI) yang merangsang peralihan teknologi 4G kepada 5G dengan lebih pantas dan sistematik.
Penubuhan PEGI ini menguntungkan pengguna apabila instrastruktur teknologi maklumat yang baik dan penjanaan rangkaian bimbingan keusahawanan teknologi mkalumat dapat dimanfaatkan kepada semua golongan masyarakat.
Kepimpinan Anwar juga teruji apabila paradoks politik negara melibatkan persefahaman di antara Kerajaan Perpaduan dengan parti-parti pembangkang belum mencapai matlamat sepenuhnya.
Pentas politik yang menjadi pertarungan pengaruh dan persepsi rakyat seringkali menjadi pertaruhan terhadap keutuhan kerajaan pimpinan beliau dan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar dan penekanan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan beliau bagi menyelesaikan isu-isu kritikal negara seperti pemulihan kos sara hidup rakyat, masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pendidikan,penambahbaikan kesihatan rakyat dan sebagainya.
Fokus untuk menggubal akta-akta yang dapat memelihara kemakmuran, keselamatan dan kebebasan bermaklumat dalam kalangan rakyat di negara ini memerlukan penelitian dari sudut perundangan dan impak kepada pelbagai pihak bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan.
Seringkali isu keagamaan sama ada dari segi pemerkasaan Islam dan institusi Mahkamah Syariah menjadi pertaruhan kebimbangan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Madani yang sememangnya dipikul oleh pelbagai parti politik rentas kaum. Anwar sekali lagi mengorak langkah mencari formula untuk menyakinkan rakyat terhadap langkah pemerkasaan syariat Islam di negara ini merentasi segenap aspek bermula daripada pendidikan Islam sehinggalah isu-isu keluarga Islam yang memerlukan penegasan kuasa Kerajaan hari ini.
Apatah lagi ia merupakan agenda utama selepas PRU-15 mempertaruhkan kewibawaan Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara hari ini dan akan datang.
Permuafakatan politik dengan parti-parti pembentukan Kerajaan Madani pimpinanAnwar merupakan suatu agenda yang tidak boleh diperlekehkan.
Kepercayaan dan keyakinan semua parti terhadap agenda kepimpinan Anwar sentiasa menjadi agenda “semak dan imbang” dalam kalangan parti-parti politik di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini untuk menguji kebijaksanaan dan keupayaan kabinet pimpinan Anwar mengemudi negara Malaysia dengan lebih makmur dan berdaya maju.
Asakan dan cabaran dari politik pembangkang juga merupakan faktor cabaran yang mengundang kebijaksanaan Anwar untuk menggalas dua peranan utama iaitu pemimpin kerajaan dan tokoh negarawan yang sudah pasti akan mendorong Anwar bersikap profesional dan adil apabila membuat keputusan politik terhadap pelbagai kes melibatkan dua peranan ini, ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak”.
Kepopularitian Anwar sekali lagi teruji apabila strategi meraih pengundi baharu melibatkan remaja berusia 18 tahun ke atas dilaksanakan di pada PRU15 baru-baru ini.
Cabaran untuk meraih minat golongan generasi Y dan Z kali ini untuk mengambil bahagian dalam kegiatan politik tanah air bukanlah perkara mudah.
Apatah lagi golongan ini sangat dipengaruhi oleh media sosial yang banyak memneri kesan psikologi terhadap pemikiran,tingkah laku dan pembuatan keputusan mereka untuk memilih bakal-bakal pemimpin negara nanti.
Hasil pemerhatian daripada penglibatan golongan ini di PRU 15 belum boleh dianggap suatu kejayaan besar apabila masih ramai lagi daripda golongan ini tidak terangsang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi automatik dalam pilihan raya tersebut.
Langkah komprehensif, drastik tetapi tersusun untuk meraih golongan ini dengan mempersiapkan pengetahuan mereka terhadap asas kenegaraan dan politik Malaysia mengundang pelbagai polemik dalam kalangan penggiat-penggiat politik negara.
Hal ini merupakan suatu langkah berstrategik yang harus diterajui oleh kepimpinan kerajaan Madani pimpinan Anwar secara bijaksana bagi menyantuni golongan ini.
Penginstitusian ilmu kenegaraan politik tanah air harus dilaksanakan secara sistematik bagi mempersiapkan remaja melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi muda yang bijaksana dan pandai membuat pilihan pada pilihan raya nanti.
Pendedahan ilmu kenegaraan dan penstrukturan sistem perlembagaan dan politik negara,sama ada dalam kurikulum formal atau tidak formal harus diangkat menjadi agenda berstrategik yang adil menerusi perkongsian maklumat secara berterusan supaya golongan ini memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pilihan raya-pilihan raya yang akan datang.
Penubuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 merupakan suatu lanskap yang mempertaruhkan keupayaan gagasan Politik Baharu untuk diterjemahkan dalam minda golongan belia di negara ini untuk membantu menjayakan transformasi pemerkasaan patriotik dan solidariti dalam kalangan anak-anak muda ini.
Namun,masih tertanya-tanya apakah modul kenegaraan dan ketenteraan dalam PLKN 3.0 itu nanti boleh menyelesaikan isu patriotisme dan solidariti dalam kalangan belia yang sekian lama ‘lesu’ dibuai kesan kecanggihan teknologi maklumat yang menyisihkan golongan ini daripada masyarakat realiti?
Keengganan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bukanlah langkah untuk menafikan permintaan rakyat yang kian kesempitan untik meneruskan kehidupan mereka di saat mereka terjebak dalam kencah krisis ekonomi tetapi kesempatan ini harus dimainkan oleh kerajaan untuk mendidik tabungan rakyat pada masa depan dan memberikan peluang meraih kepopularitian Anwar menterjemahkan langkah tersebut untuk memperkasa imej dan reputasinya sebagai pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Menghadapi kencah penurunan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika dan menyaksikan ketidakseimbangan sosiopolitik antarabangsa pada masa ini juga memerlukan suatu keputusan bijak kerajaan untuk menyusun strategik yang boleh dimanfaatkan kepada semua golongan rakyat,lebih-lebih lagi negara akan beralih ke era endemik tidak lama lagi setelah lebih tiga tahun bertarung dengan pandemik Covid-19.
Hakikatnya, bukan mudah semua cabaran tersebut dapat digalas bagi menjamin kelestarian kepemimpinan Anwar menerajui negara.
Penyusunan strategi maklumat dan komunikasi dalam kalangan rakyat masih belum dapat dilaksanakan dengan berkesan apalagi rakyat harus berdepan dengan pelbagai masalah akibat ketidaktentuan sosiopolitik dan ekonomi global yang akan memberikan kesan negatif berpanjangan sekiranya tidak dapat ditangani dengan bijaksana.
Strategi bekalan makanan dan tanaman asas bagi mengatasi krisis makanan global dan kaedah penyusunan harga ternakan dan tanaman juga terus menjadi agenda penting pasca PRU15.
Ini akan menyaksikan bagaimana kebijaksanaan kepemimpinan Anwar menerajui permasalahan ini dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dengan cekap, adil dan saksama.
Pemeliharaan imej dan reputasi kerajaan Madani pimpinan Anwar menerusi strategi komunikasi yang tersusun dan berkesan akan membolehkan kerajaan pimpinan beliau dianggap lebih relevan terhadap situasi politik dan ekonomi tanah air sekaligus mengembalikan taruhan kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk terus melakarkan sokongan padu mereka kepada kepemimpinan Kerajaan Madani pimpinan beliau hari ini.
Namun apakah pendekatan sebegini akan terus dinikmati oleh rakyat terutamanya pelbagai pihak yang selama ini menyokong kepemimpinan Anwar sekiranya pelbagai isu negara terus menjadi taruhan sekiranya pendekatan strategik pemulihan sosiopolitik dan ekonomi negara tidak dapat diselesaikan dengan bijaksana?
Inilah cabaran dan dugaan kepemimpinan Anwar memacu agenda pemulihan ekonomi Malaysia di mata dunia yang harus dipertaruhkan.
Oleh Ts Dr Syed Agil Alsagoff yang merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
NOTA: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi MalaysiaGazette