KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini mengangkat sumpah jawatan di Wiswa Sri Pahang, Kuantan.
Majlis angkat sumpah diadakan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Amizar, 53 tahun, mengangkat sampah pada jam 9.35 pagi disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN-ADUN yang hadir pada persidangan hari ini.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu menang dengan majoriti 2,949 undi apabila meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi).
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi selepas, penyandangnya, Datuk Johari Harun yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, Johari yang mewakili BN meraih 7,308 undi dan menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).- MalaysiaGazette