Enam lelaki termasuk lima beradik dituduh melakukan rogol berkumpulan dan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. Foto, ABDULLAH YUSOF 4 DISEMBER 2023.

KUALA KANGSAR – Empat lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, di sini, atas pertuduhan merogol secara berkumpulan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di Gerik, bulan lalu.

Kesemua tertuduh berusia 23, 17, 16 serta 14 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 11 tahun dua bulan dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik, pada sebelah petang awal November lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lagi abang kepada tiga beradik berkenaan turut didakwa atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 31 dan 25 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Rohaidai Ishak.

Berdasarkan pertuduhan kedua-dua beradik berkenaan didakwa bersama-sama melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara memegang payudara mangsa.

Enam termasuk lima beradik dituduh rogol berkumpulan dan amang seksual
Enam lelaki termasuk lima beradik dituduh melakukan rogol berkumpulan dan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. Foto, ABDULLAH YUSOF 4 DISEMBER 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik pada sebelah petang awal November lalu.

Dua beradik tersebut dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Firdaus meminta mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Rohaida kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 22 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikatarik, lantikan peguam dan keputusan kes bagi amang seksual fizikal.

Terdahulu media melaporkan tujuh lelaki termasuk enam beradik ditahan polis pada November 2023 selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir di Kampung Pahat Luar, di Gerik.

Ketua Polis Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, siasatan lanjut mendapati pada 3 November lebih kurang 2 petang adik mangsa telah melihat tujuh orang rakan abangnya berumur dalam lingkungan 13 hingga 31 tahun merogol kakaknya dalam bilik di rumah jiran sebelah rumah mangsa. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tujuh lelaki ‘ratah’ budak perempuan 11 tahun