GAZA CITY – Tiada lagi tempat untuk penduduk Gaza melarikan diri selepas askar penceroboh Israel memperhebatkan serangan di selatan yang dikatakan kawasan selamat.
Pada 13 Oktober regim Zionis mengarahkan penduduk di utara untuk melarikan diri ke selatan dan kini selepas gencatan senjara yang tamat pada Jumaat lalu tentera udara Israel melakukan pengeboman di seluruh Semenanjung Gaza.
Al Jazeera melaporkan, api menjulang-julang membakar bangunan di bandar Deir al-Balah selepas dibom oleh Israel.
Bilangan mangsa yang mati dan cedera masih belum diketahui.
Serangan juga dilakukan di Khan Younis dan Rafah dengan lebih 700 maut dalam serangan tanpa henti Israel selama 24 jam pada Sabtu.
Menurut Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) lebih 15,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh Israel termasuk 6,000 bayi dan kanak-kanak serta 4,000 wanita.- Agensi