Gambar hiasan

JOHOR BHARU – Termakan janji gaji antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan di Facebook, tiga orang rakyat Malaysia bertindak meninggalkan kerja asal dan ahli keluarga untuk terbang ke Bangkok bagi bekerja di restoran.

Sebaik tiba di ibu kota Thailand itu pada April lalu, pemandu memberitahu kekosongan kerja di Bangkok telah penuh lalu membawa mereka ke Chiang Rai, berhampiran sempadan dengan  Myanmar dan Laos.

Namun begitu, mereka terus dibawa motosikal dari Chiang Rai ke tepi sungai yang memisahkan Thailand Laos.

Kawasan itu dikawal lelaki bersenjata yang mengarahkan mereka melintas sungai ke Laos sebelum dibawa ke utara Myanmar untuk bekerja dengan sindiket penipuan.

Mangsa yang berumur 33 tahun memberitahu China Press bahawa episod hitam itu bermula dengan satu iklan jawatan kosong tukang masak dan pelayan restoran di Facebook.

Terpengaruh dengan iklan itu, mangsa mengajak dua rakan lain untuk mengikuti wawancara kerja melalui telefon dan akhirnya dipaksa menjadi scammer di Myanmar.

Gagal mencapai “kuota penipuan” yang ditetapkan untuk setiap kumpulan, mereka akan dipaksa untuk bekerja lebih masa atau didenda.

Jika melapor polis atau cuba melarikan diri, mangsa akan dikurung dalam sebuah bilik gelap dan dipukul.

Namun konflik ketenteraan di utara Myanmar menyebabkan pintu markas penipuan terbuka, mangsa-mangsa penipuan pekerjaan segera mengambil pasport mereka dan melarikan diri.

Seorang lagi mangsa dari Sibu, Sarawak berkata, dia dikurung dalam bilik gelap selama tiga hari kerana menggunakan telefon untuk menghubungi ahli keluarga di Malaysia.

Katanya, bilik itu seperti satu sangkar di mana dia makan dan membuang air besar dan kecil, selain dipukul.

Terdapat juga mangsa yang mencerita mereka bermalam dalam kandang babi sebelum sempat menghubungi ahli keluarga di Malaysia serta mendapat bantuan pertubuhan kemanusiaan dan wakil rakyat untuk menyelamatkan mereka.

Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat.

Kesemua yang disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di utara Myanmar itu dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas dari Kunming, China.

Daripada jumlah itu, seramai 54 orang dari Sarawak, Perak (22), Kuala Lumpur (10), Pulau Pinang (lapan), Pahang dan Johor (tujuh), Negeri Sembilan dan Selangor (empat) serta dua dari Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast