Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang keluar membeli makanan ketika anaknya sedang tidur terkejut selepas mendapati anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dia kembali ke rumahnya di Cheras pada 2 Disember lalu.

Bimbang keadaan anaknya lelaki itu telah membawa anak ke hospital untuk rawatan segera.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada hari kejadian, lebih kurang pukul 3.40 petang, Pegawai Perubatan Hospital Tunku Azizah di sini telah menerima seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaaan tidak sedarkan diri dari sebuah flat perumahaan di Bandar
Tun Razak.

“Pegawai perubatan yang memeriksa dan memberikan rawatan telah mengesahkan mangsa berusia enam tahun itu telah meninggal dunia pada hari yang sama.

“Pegawai turut mengesyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zam Halim, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Polis membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

Sekiranya sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette