PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) menafikan kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebagai bukti referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, ini kerana sokongan yang diterima itu masih dianggap kecil yang hanya mewakili 141,00 pengundi dan di satu kawasan Parlimen sahaja.
“Kita tidak boleh anggap sebagai referendum kerana itu satu kepompong kecil di Kemaman.
“Mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap sebagai satu referendum? Jadi kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan besar Ahmad Samsuri membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan PN.
Katanya, dengan meraih majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi di kerusi berkenaan bukan sahaja menunjukkan penerimaan terhadap kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.
Takiyuddin menjelaskan, pengekalan status quo parti Pas di Kemaman adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Malah menurutnya, ia juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tidak ada peningkatan sokongan sebenarnya kepada calon Pas pada PRK Kemaman itu.
Sebaliknya jelas beliau, terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya UMNO kira-kira 10,000.
“Oleh sebab itu apabila hanya 68.3 peratus sahaja pengundi-pengundi putih UMNO yang keluar mengundi, maka ia nya telah menyumbang kepada majoriti yang bertambah kerana pengundi kita tidak keluar,” katanya.
Sabtu lalu, Ahmad Samsuri menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Naib Presiden Pas tersebut memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi. – MalaysiaGazette