King Sing menyerahkan plak kepada Rauf selepas sidang media yang diadakan di kementeriannya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia akan menjadi tuan rumah dua acara bertaraf antarabangsa iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 September 2025.

Melaka dipilih untuk menganjurkan acara tersebut yang dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta antarabangsa dari 159 negara anggota.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pencalonan tersebut telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung ke-25 Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa Bersatu (UNWTO) pada 19 Oktober lepas di Samarkand, Uzbekistan.

“Penganjuran program sambutan WTD 2025 dicadang diadakan bersempena dengan penganjuran edisi ketujuh World Tourism Conference (WTC) 2025, iaitu persidangan bertaraf antarabangsa anjuran bersama oleh Malaysia dan UNWTO setiap tiga tahun sekali,” ujar kenyataan itu.

“Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi penganjuran WTD dan WTC 2025 merupakan tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di persada dunia.

“Melaka merupakan salah sebuah bandar yang bersejarah di Malaysia. Inilah juga yang menjadi faktor utama Melaka berjaya terpilih sebagai bandar bagi penganjuran WTC 2025 oleh pihak World Tourism Organization (Pertubuhan Pelancongan Dunia),” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Terdahulu, King Sing mengadakan perbincangan gerak kerja jawatankuasa khas yang dilantik bersama Rauf bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu, Abdul Rauf berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan Melaka untuk mengendalikan acara tersebut.

Katanya, Melaka sebagai sebuah pusat pelancongan dan kota warisan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mampu memberikan banyak perkara dan boleh menarik pelancong ke negara ini.

Tambah beliau, Melaka sendiri menganjurkan sambutan Tahun Melawat Melaka lebih awal iaitu pada tahun depan dan mengadakan dua acara besar itu mampu menjadi batu loncatan kepada penganjuran Tahun Melawat Malaysia lebih besar pada 2026.

“Dengan adanya penganjuran World Tourism Day dan World Tourism Conference di Melaka, ia mampu memperkuatkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Bukan setakat itu sahaja sebaliknya, penganjuran acara berkenaan juga turut mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih baik untuk negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette